Krisis Perlantikan Undang Luak Mohammad_Kassim_Datuk_Nika_Haji_Abdul_Rashid

Terdapat sedikit krisis selepas kemangkatan Yang Teramat Mulia Datuk Kelana Putera untuk pengganti Undang Luak Sungai Ujung yang baru. Setelah dua tahun Undang Luak Sungai Ujung tiada pengganti, pada 08.03.1986 Raja Abdul Rahim Raja Abdul Razak dari Rumpun Bayu diisytihar oleh anak warisnya sebagai Datuk Kelana Putera ke-10. Pada 02.07.1987 pula seorang warga adat dari Rumpun Dusun, Lenggeng diistiharkan oleh warisnya sebagai Datuk Kelana Putera ke-10 dan menganggap perlantikan Raja Abdul Rahim tidak sah. Dewan Keadilan Negeri yang bertanggungjawab mengesahkan perlantikan semua Undang tidak mengeluarkan sebarang persetujuan berhubung kedua-dua perlantikan individu berkenaan sebagai Undang Luak Sungai Ujung yang baru. Dewan ini dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan serta dianggotai oleh kesemua Undang yang empat bersama Tunku Besar Tampin dan Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai ex-officio. Dewan ini tidak ada kuasa melantik Undang tetapi mempunyai kuasa merestui dan mengesahkan perlantikan Undang yang dibuat oleh Tua Waris Hulu, Tua Waris Hilir dan Waris Nan Tuo. Disebabkan tiada restu dan pengesahan daripada Dewan Keadilan Negeri berhubung perlantikan kedua-dua individu berkenaan sebagai Undang Luak Sungai Ujung kerana perlantikan mereka tidak mengikut adat yang sah, maka satu kata muafakat telah dibuat oleh tiga waris tua berkenaan berhubung isu ini. Akhirnya ketiga-tiga Waris Tua Berkenaan telah memilih Yang Teramat Mulia Dato' Mubarak bin Tahak @ Dohak[2], [3] sebagai Datuk Kelana Putera ke-10 iaitu Undang Luak Sungai Ujung yang baru pada 29.12.1993 telah menyelesaikan kemelut Perlantikan Undang Luak Sungai Ujung yang berlanjutan selama 10 tahun. Sepatutnya pengganti Undang yang baru harus dibuat selepas kemangkatan penyandangnya.